(a)  Pemilik asal menurut kuatkuasa Seksyen 40A Akta A 1290 (Akta Hakmilik Strata) mempunyai kewajipan mandatori untuk memindah milik hakmilik-hakmilik strata yang telah didaftarkan atas namanya itu kepada pembeli-pembeli.

 

(b)   Pemilik asal dan pembeli-pembeli hendaklah menyempurnakan pindah milik hakmilik strata tersebut dalam tempoh dua belas (12) bulan seperti berikut:

(i)           Pemilik asal – 12 bulan bermula dari tarikh notis Borang 5F ditandatangani oleh Pentadbir Tanah dan berakhir pada tarikh notis pemindahan hakmilik strata dikeluarkan oleh pemilik asal kepada pembeli atau dalam apa-apa tempoh lanjutan lain yang diluluskan oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri

(ii)          Pembeli – 12 bulan bermula dari tarikh notis pemindahan hakmilik strata dikeluarkan oleh pemilik asal kepada pembeli dan berakhir pada tarikh penerimaan dan penyaksian pindah milik melalui Borang 14A disempurnakan oleh pemilik atau dalam apa-apa tempoh lanjutan yang diluluskan oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri.

(c)   Kegagalan pemilik asal dan pembeli menyempurnakan pindah milik hakmilik strata dalam tempoh yang ditetapkan itu adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000.00 dan tidak lebih daripada RM10,000.00 setiap petak.

Semua pemilik berdaftar di Kondominium Danau Murni telah pun menerima surat berdaftar daripada Peguam Norasmadi dan Noraini bertarikh 29 Jun 2009 menasihatkan supaya menyempurnakan dokumen pemindahan hakmilik strata dalam masa 12 bulan daripada tarikh tersebut. Kegagalan berbuat demikian hanya merugikan pembeli sendiri kerana mereka boleh dikenakan denda daripada pentadbir tanah iaitu PTGWPKL dan mereka tidak dapat melibatkan diri dalam Perbadanan Pengurusan nanti.