Tempoh permulaan (initial period) adalah tempoh yang bermula dari tertubuhnya Perbadanan Pengurusan (apabila hakmilik strata didaftarkan) dan berakhir apabila satu per empat daripada unit syer tersebut dipindah milik kepada para pembeli.

Pada peringkat tempoh permulaan ini, tuan punya tanah adalah menjadi ahli Perbadanan Pengurusan yang pertama kerana beliau didaftarkan sebagai pemilik bagi semua petak.

Semasa dalam tempoh permulaan, pemaju dan juga pemilik hendaklah bersama-sama menjalankan tugas menguruskan harta bersama dengan menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body sebelum Perbadanan Pengurusan atau Management Corporation mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama. Pengurusan harta bersama dalam tempoh ini ialah di bawah kuatkuasa Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 [Akta 663]. Untuk maklumat tambahan sila klik di sini PENERANGAN RINGKAS MENGENAI AKTA BANGUNAN DAN HARTA BERSAMA (PENYENGGARAAN DAN PENGURUSAN) 2007 [AKTA 663]

Mesyuarat Agung Tahunan Pertama adalah mesyuarat pertama yang wajib diadakan oleh perbadanan pengurusan dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh tamatnya tempoh permulaan. Bagi tujuan ini, adalah penting perbadanan pengurusan memastikan:

•     prosedur mengadakan mesyuarat ini dipatuhi;

•     semua pemilik-pemilik yang layak menghadiri mesyuarat ini;

•     daftarai strata (strata roll) dikemaskini terlebih dahulu; dan

•     Notis disampaikan kepada setiap pemilik-pemilik yang layak (bersama-sama dengan surat iringan yang menyatakan item-item dalam agenda mesyuarat).

Perbadanan Pengurusan atau Management Corporation akan menguruskan harta bersama di bawah kuatkuasa Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318]

Tahukah anda

Contoh Harta BersamaTangga, laluan kecemasan, pintu masuk dan pintu keluar, koridor, lobi, lekapan dan pemasangan, lif, pelongsor sampah, tong sampah, kawasan,parit, tangki air, pembetung, paip, wayar, kabel dan saluran yang memberi kemudahan kepada lebih daripada satu petak, bahagian luar semua bahagian bersama bangunan, padang permainan dan kawasan rekreasi, jalan masuk, tempat letak kereta dan kawasan meletakkan kereta, ruang terbuka, kawasan landskap, tembok dan pagar, dan segala kemudahan dan pepasangan lain dan mana-mana bahagian tanah yang digunakan atau boleh digunakan atau dinikmati bersama oleh semua penghuni.