SYARIKAT BEKALAN AIR SELANGOR SDN BHD 393257-T

SIARAN MEDIA

26 Januari 2008

PROGRAM TURUN PADANG DAN RAMAH MESRA SYABAS DI MAJLIS PENDAFTARAN DAN KAUNTER PEMBAYARAN MIGRASI METER AIR PUKAL KE METER AIR INDIVIDU

Kuala Lumpur- Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) hari ini telah turun padang dan membuka kaunter pendaftaran dan pembayaran bagi pemohonan membuka akaun individu bertempat di Kompleks Kediaman Kakitangan Awam, Jalan Duta.

Kaunter ini dibuka bagi membolehkan para penduduk di Kompleks Kediaman Kakitangan Awam ini memohon membuka akaun individu. Pada masa ini kompleks ini menggunakan meter air pukal yang diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri.

Program ini merupakan program pertama yang melibatkan pendaftaran meter air secara individu kepada pengguna sejak kaedah migrasi meter yang telah dilancarkan oleh SYABAS pada 28 Mei 2007.

Sebagai makluman, Kompleks Kediaman Kakitangan Awam Jalan Duta ini mempunyai bilangan akaun individu sebanyak 860 akaun dan mempunyai bilangan penduduk seramai 2500 orang. Kompleks ini mula didiami pada tahun 2004 dan penghuninya terdiri daripada kakitangan kerajaan daripada semua Jabatan dalam Wilayah Persekutuan.  Pada 4 Januari 2008 SYABAS telah meluluskan permohonan Migrasi untuk kuarters kerajaan ini dan semua meter-meter lama yang sedia ada boleh digunakan semula kerana usia meter kurang dari 4 tahun dan memenuhi spesifikasi SYABAS.

SYABAS akan menukar meter pengguna jika meter tersebut  melebihi usia tujuh (7)  tahun ke atas tanpa sebarang caj yang akan dikenakan. Tujuan Syabas mengadakan program ini adalah untuk membantu  pihak Pengurusan Bangunan (MC) iaitu Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri dalam mempercepatkan proses permohonan migrasi akaun meter pukal kepada akaun meter individu.

Pada hari ini juga SYABAS akan membantu orang ramai untuk mengisi borang, membuat penyemakan dan seterusnya memberikan  kelulusan pada hari yang sama. Program ini diadakan selama 2 hari iaitu dari jam jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang mulai 26 Januari 2008 hingga 27 Januari 2008 dan semua akaun dijangka dapat diaktifkan selewat-lewatnya pada 31 Januari 2008, setelah SYABAS menerima 100% permohonan daripada penghuni kediaman tersebut. Bil air untuk meter individu pula dijangka dapat dibaca dan dikeluarkan pada akhir bulan Februari 2008.

Sebagai makluman, migrasi atau pemindahan merupakan kaedah pembilan akaun air daripada akaun meter pukal kepada akaun individu untuk semua penghuni bagi kediaman kondominium, pangsapuri dan rumah pangsa telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan serta menunjukkan penerimaan positif daripada pihak pengurusan dan penghuni kondominium, pangsapuri dan rumah pangsa. Proses migrasi memperuntukan pembilan bagi bekalan air secara terus dari pihak SYABAS kepada akaun individu penghuni yang sebelum ini dibekalkan air melalui meter pukal yang didaftarkan di bawah nama syarikat pengurusan, persatuan penduduk atau pihak-pihak lain yang mengurus bekalan air ke premis berkenaan.

Pada 1 November 2006, Kerajaan Negeri Selangor telah mewartakan struktur kadar tarif air yang baru bagi kawasan-kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Struktur kadar tarif air yang baru ini telah diwartakan melalui Enakmen Pembekalan Air 1997 di bawah Kaedah-Kaedah Bekalan Air (Bayaran) (Selangor) (Pindaan) 2006. Lanjutan daripada penwartaan tersebut, struktur kadar tarif air yang sedia ada bagi pengguna-pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dipinda kepada satu (1) struktur kadar tarif air yang baru. Pindaan ini melibatkan semua kategori kod tarif air sedia ada termasuk Kod Tarif 17 – Pangsapuri / Kondominium dan Kod Tarif 18 – Pangsapuri Kos Rendah. Struktur kadar tarif air yang terlibat adalah seperti yang tertera di bawah berikut:

Kod

Kegunaan Kadar Lama Kadar Baru Peratusan Peningkatan

17

Rumah Pangsa/Apartment/Kondominium (selain dari Apartment dan Rumah Pangsa Kos Rendah)
Domestik – Meter Pukal RM 1.20 RM 1.38 15.0%
Caj Minimum RM 150.00 RM 173.00 15.3%
Domestik – Meter Individu Mengikut Kod Tarif 10
Lain-lain Kegunaan Mengikut Kod Tarif 11

 

Kod

Kegunaan Kadar Lama Kadar Baru Peratusan Peningkatan

18

Apartment dan Rumah Pangsa Kos Rendah
Domestik – Meter Pukal RM 0.70 RM 0.80 14.3%
Caj Minimum RM 30.00 RM 35.00 16.7%
Domestik – Meter Individu Mengikut Kod Tarif 10
Lain-lain Kegunaan Mengikut Kod Tarif 11

 

Tujuan utama migrasi ini adalah bagi membolehkan pengguna-pengguna di kondominium, pangsapuri dan rumah pangsa menikmati kadar tarif yang sama seperti kadar tarif air yang dicajkan kepada kediaman domestik biasa. Kadar kediaman domestik yang mengunapakai kod tarif 10 dibilkan RM0.57 sen bagi kegunaan air dari 0 hingga 20 meter padu berbanding kediaman kondominium/pangsapuri yang menggunapakai kod 17 dan 18 yang mana dikenakan bayaran pada kadar RM1.38 dan RM0.80 masing-masing bagi semeter padu. Oleh itu selepas proses migrasi ini para pengguna kediaman kondominium/pangsapuri dan rumah pangsa akan menikmati kadar yang sama seperti kediaman biasa di bawah kod 10.

Migrasi pembilan dari akaun meter pukal kepada meter individu ini adalah satu mekanisme yang dilaksanakan oleh SYABAS selepas mengambilkira rungutan serta masalah yang dihadapi sejak sekian lama oleh para pengguna yang menggunapakai sistem pembilan secara pukal. Antara masalah utama yang sering disuarakan oleh pengguna ialah rasa tidak puashati kerana terpaksa menanggung risiko seperti bekalan air dipotong kerana pihak pengurusan pangsapuri/kondominium/bangunan tersebut gagal menjelaskan bayaran bil air kepada SYABAS walaupun pengguna terbabit telah membuat pembayaran bil air mereka masing-masing.

Selain itu pelaksanaan migrasi ini juga adalah disebabkan oleh masalah-masalah utama yang sering dihadapi oleh pengguna termasuklah:-

a) Kadar tarif yang lebih tinggi

Mengikut kadar tarif yang telah diluluskan, kadar tarif Kod 17 dan 18 untuk kondominium/pangsapuri dan rumah pangsa kos rendah adalah dicajkan samarata pada RM1.38 dan RM0.80 masing-masing semeter padu berbanding dengan kadar tarif kod 10 untuk kediaman domestik yang mana kadar tarif adalah berjalur bermula daripada RM0.57 semeter padu untuk kegunaan dari 0 meter padu hingga 20 meter padu, diikuti dengan RM1.03 semeter padu untuk kegunaan air melebihi 20 meter padu hingga 35 meter padu dan RM2.00 semeter padu untuk kegunaan melebihi 35 meter padu.

b) Air sebagai ”cagaran” kepada caj penyelenggaraan

Terdapat sesetengah syarikat pengurusan bangunan yang mengenakan caj air kepada penduduk kondominium atau pangsapuri menggunakan air sebagai ”cagaran” bagi memastikan penduduk membayar caj-caj lain seperti caj perkhidmatan. Berdasarkan praktik di atas bekalan air akan dipotong bagi mana-mana pihak yang gagal menjelaskan caj-caj perkhidmatan tersebut.

c) Masalah pembayaran dan pemotongan

Banyak kes berlaku apabila SYABAS terpaksa memotong bekalan air meter pukal kerana kegagalan pihak pemegang akaun meter pukal yang kebiasaannya ialah pihak pengurusan bangunan menjelaskan bil-bil tertunggak dan mengakibatkan keseluruhan penghuni kondominium atau pangsapuri tidak mendapat bekalan air walaupun ada penghuni yang telah membuat pembayaran kepada pihak pengurusan bangunan. Kegagalan pengurusan bangunan menjelaskan bil air seringkali dikaitkan dengan masalah terdapatnya sebahagian penduduk tidak menjelaskan bil air atau tidak menjelaskan bil caj perkhidmatan. Keadaan ini menyebabkan ketidakadilan kepada penduduk yang membuat pembayaran bil air mereka tepat pada masanya.

Setakat 17 Januari 2008, dicatatkan sebanyak 186 permohohonan daripada pihak Pemegang Akaun Bekalan Air Meter Pukal yang melibatkan sebanyak 52, 674 unit individu berdaftar bagi kawasan-kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Daripada 186 permohonan ini, pihak SYABAS telah memberikan kelulusan kepada 33 permohonan bagi premis-premis kondominium dan pangsapuri yang memohon melalui Pemegang Akaun Bekalan Air Meter Pukal yang melibatkan sebanyak 6,260 pembukaan akaun-akaun bekalan air individu yang baru.

Untuk rekod, pihak SYABAS telah mengadakan Majlis Penyerahan Borang Kelulusan Migrasi kepada 11 wakil pihak pengurusan kondominium, pangsapuri dan bangunan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 20 November 2007 bertempat di Ibu Pejabat SYABAS, Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur. Antaranya adalah wakil dari SP Setia Estate Management Sdn Bhd, TTDI Development Sdn Bhd, Kiara View Management, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Perbadanan Pengurusan Menara Jade, Crimson Ria Management Sdn Bhd, Kuarter Jenis Apartment Fasa 11, Villa Mewah Management Sdn Bhd, Central Malaya Construction Sdn Bhd, Sekolah Kebangsaan Antara Gapi dan Desa Alpha Management Corporation Sdn Bhd.

SYABAS yakin migrasi yang dilaksanakan lanjutan dari dengan penyelarasan kadar baru tarif air yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri dan berkuatkuasa sejak 1 November 2006 lalu, memberi kebaikan kepada semua pengguna air yang tinggal di kediaman jenis kondominium, pangsapuri dan rumah pangsa yang kini dibilkan secara sistem bil pukal dan memberi lebih kesaksamaan kepada semua pengguna terlibat.

Sebarang pertanyaan atau aduan sila hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau melalui SMS, dengan menaip PUSPEL jarak taipkan aduan atau pertanyaan hantar ke 39222 dan lawati laman web SYABAS di www.syabas.com.my.