AKTA BANGUNAN DAN HARTA BERSAMA (PENYENGGARAAN DAN PENGURUSAN) 2007 atau dikenali juga sebagai Akta 663 telah menjelaskan tentang tugas dan kuasa seperti petikan di bawah:

TUGAS DAN KUASA BADAN PENGURUSAN BERSAMA (JOINT MANAGEMENT BODY)

8. (1) Tugas Badan termasuk yang berikut:

(a) untuk menyenggarakan harta bersama dengan sempurna dan menjaga harta bersama itu dalam keadaan yang baik dan pembaikan yang dapat digunakan;

(b) untuk menentukan dan mengenakan caj yang perlu bagi pembaikan dan penyenggaraan harta bersama dengan sempurna;

(c) untuk menginsuranskan dan terus menginsuranskan bangunan itu sebanyak nilai gantian bangunan itu terhadap kebakaran dan apa-apa risiko lain sebagaimana yang ditentukan oleh Badan;

(d) untuk menggunakan wang insurans yang diterima oleh Badan berkenaan dengan kerosakan kepada bangunan itu bagi bangunan itu dibina semula dan dipulihkan;

(e) untuk mematuhi apa-apa notis atau perintah yang diberikan atau yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan atau mana-mana pihak berkuasa awam yang berwibawa yang menghendaki pemberhentian apa-apa kacau ganggu pada harta bersama, atau yang memerintahkan kerja pembaikan atau kerja lain yang kena dilakukan berkenaan dengan harta bersama itu atau pembaikan lain kepada harta itu;

(f) untuk menyediakan dan menyenggarakan suatu daftar kesemua pembeli bangunan itu;

(g) untuk memastikan bahawa Kumpulan Wang Penyenggaraan Bangunan diauditkan dan untuk menyediakan penyata kewangan yang teraudit untuk makluman kepada pembeli;

(h) untuk menguatkuasakan kaedah-kaedah dalaman bagi penyenggaraan dan pengurusan bangunan dengan sempurna; dan

(i) untuk melakukan apa-apa perkara lain yang suai manfaat atau perlu bagi penyenggaraan dan pengurusan bangunan itu dengan sempurna.

(2) Kuasa Badan hendaklah termasuk yang berikut:

(a) untuk mengutip daripada pembeli caj penyenggaraan dan pengurusan berkadaran dengan unit syer yang diuntukkan bagi petak mereka masing-masing;

(b) untuk membenarkan perbelanjaan bagi menjalankan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama;

(c) untuk mendapatkan kembali daripada mana-mana pembeli apa-apa jumlah wang yang dibelanjakan oleh Badan berkenaan dengan petak itu dalam mematuhi apa-apa notis atau perintah sebagaimana yang disebut di bawah perenggan (1)(e);

(d) untuk membeli, menyewa atau selainnya memperoleh harta alih atau harta tak alih bagi kegunaan oleh pembeli berkaitan dengan penikmatan harta bersama mereka;

(e) untuk mengatur dan mendapatkan perkhidmatan mana-mana orang atau ejen untuk mengusahakan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama bangunan itu;

(f) untuk membuat kaedah-kaedah dalaman bagi penyenggaraan dan pengurusan bangunan itu dengan sempurna; dan

(g) untuk melakukan segala perkara yang semunasabahnya perlu bagi pelaksanaan tugasnya di bawah Akta ini.

(3) Badan hendaklah disifatkan

(a) bagi maksud mengambil apa-apa insurans di bawah perenggan (1)(c), mempunyai kepentingan boleh insurans dalam bangunan itu yang sama dengan nilai gantiannya atau apa-apa nilai sebagaimana yang ditentukan oleh Badan; dan

(b) bagi maksud mengambil apa-apa insurans di bawah perenggan (1)(d), mempunyai kepentingan boleh insurans dalam hal perkara insurans itu.